Kejohanan Cubprix Pusingan 1 Meriah

Kemeriahan Kejohanan Pusingan 1 Petronas Cubprix Malaysia 2021 yang berlangsung pada 20-21 Mac 2021, terserlah dengan melibatkan seramai 145 orang pelumba dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan. Pusingan pembukaan ini yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) menampilkan aksi2 yang menarik dan mendebarkan

Kategori perdana CP 150, Kasma Daniel Kasmayudin kembali menghangatkan litar untuk memberikan cabaran kepada pelumba2 lain seperti Helmi Azman (Juara musim 2020), Afif Amran (Juara Musim 2019), Azroy Anuar, Afendi Rosli, Ahmad Fazrol Sham dan lain2 pelumba. Pada pusingan pertama ini Mohd Muzakir Mohamed berjaya menjulang trofi juara kemenangan diikuti rapat oleh Mohd Izzat Zaidi (kedua) dan Afif Amran (ketiga)

Bagi kategori CP 125, penampilan sulung Pink Racing Team yang membariskan Siti Norafizah Muhammad dan Harith Farhan Baharin nyata tidak sia2 apabila berjaya mengutip mata berharga. Cabaran pusingan pertama ini dimenangi oleh Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan catatan masa 11’10.393s manakala kedua Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team :11’10.888s) dan ketiga Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team : 11’10.938s)

Katogeri WIRA KBS pula menyaksikan penguasaan pasukan 31 Racing (Yamaha Sprinta Petronas) apabila membolot kedudukan kesemua podium menerusi pelumba2 mereka Mohd Syamil Amsyar M Iffende (Juara), Danial Johan (Kedua) dan Mohd Aqil Danial Nasrul (Ketiga). Tampil memberikan saingan dalam kategori ini Mohd Harith Rosmaza dan Mohd Farish Iqmal Khayrul Elyas yang sentiasa mengekori rapat dikelompok hadapan

CP150

1. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 14’12.181s

2. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 14’12.446s

3. Ahmad Afif Amran (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing), 14’12.503s

4. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 14’12.584s

5. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha, Yamaha Genblu AHM Motor Sports), 14’12.857s

CP125

1. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 11’10.393s

2. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 11’10.888s

3. Mohd Adib Rosley (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang Racing Team), 11’10.938s

4. Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing), 11’10.948s

5. Siti Norafizah Mohamad (Yamaha, Tuneboss Pink Racing), 11’11.040s

WIRA KBS

1. Mohd Syamil Amsyar M Iffende (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing), 9’47.467s

2. Danial Johan (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing), 9’56.803s

3. Mohd Aqil Danial Nasrul (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing), 9’56.862s

4. Mohd Harith Rosmaza (Yamaha), 9’56.919s

5. Mohd Farish Iqmal Khayrul Elyas (Honda, Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team), 9’56.962s

KEMENANGAN BERHARGA

S/H: Muzakkir Tamatkan Kemarau Kemenangan Sedekad

Sedekad sebagai seorang pelumba profesional, saat yang dinanti-nantikan oleh Mohd Muzakkir Mohamed akhirnya tiba apabila berjaya menyambar kemenangan Cub Prix pertama di pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2021.

Muzakkir, yang masih mewakili pasukan ONEXOX TKKR Racing Team musim ini, menyifatkan kejuaraan musim 2021 sebagai antara yang paling mencabar.

“Ramai pelumba-pelumba ternama yang kembali ke kancah Cub Prix musim ini. Daripada 27 pelumba di atas grid CP150, seramai 14 yang masing-masing pernah memegang gelaran Juara,” kata Muzakkir, berusia 29 tahun.

Walaupun dicabar oleh kehadiran pelumba-pelumba hebat kategori premier CP150, Muzakkir tetap yakin mengekalkan rentak penunggangannya semasa perlumbaan CP150 Akhir sepanjang 11 lap itu. Keyakinan itu membolehkan Muzakkir mendahului kelompok utama dalam lima lap terakhir sehingga berjaya merampas bendera kemenangan dengan catatan masa 14’12.181s.

Ketinggalan 0.265 saat di belakang Muzakkir, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team yang kini memegang rekod lap terpantas di Litar Selatan Sepang, menamatkan perlumbaan di tempat ke-2. Juara CP150 berganda Ahmad Afif Amran melengkapkan trio kemenangan di tempat ke-3 dengan 14’12.503s.

“Kemenangan ini sememangnya amat bermakna dan berharga bagi diri saya. Inilah yang saya nanti-nantikan selama ini dan saya berharap dapat mengekalkan kelebihan ini sehingga berjaya mencapai impian yang lebih besar, iaitu melihat nama saya terukir di atas trofi Cub Prix,” kata Muzakkir.

Di dalam kategori pertengahan CP125 pula, juara bertahan Mohd Syafiq Rosli nyata tidak tercabar apabila menamatkan perlumbaan CP125 Akhir di tempat pertama dengan catatan masa 11’10.393s 0.495 saat di hadapan pelumba-pelumba lain. Tempat kedua dan ketiga di isi duo pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Mohd Fareez Afeez serta Mohd Adib Rosley.

Sementara itu, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing menyapu bersih podium pertama musim 2021 dalam kategori Wira KBS. Ketiga-tiga pelumba pasukan dominan dalam perlumbaan tujuh pusingan itu. Kedudukan pertama jatuh ke tangan Mohd Syamil Amsyar M Iffende, diikuti Danial Johan di tempat kedua dan Mohd Aqil Danial Nasrul di tempat ketiga.

IZZAT ZAIDI MENCIPTA REKOD BAHARU DI LITAR SEPANG SELATAN

Pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan berjaya mencipta rekod baharu di Litar Sepang Selatan dengan catatan masa 1’15.190s.

Menurut Izzat, keputusan yang diperolehi dari sesi kelayakan CP150 pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2021 tersebut sememangnya tidak dijangka.

“Kami masih belum mendapat garis perlumbaan yang paling optima untuk tahun ini. Corak penunggangan semua pelumba harus berubah kerana regulasi baharu musim 2021 menghadkan rpm (putaran seminit) ke 14,000 rpm,” jelas Izzat.

“Tidak dinafikan, keputusan ini sememangnya penyuntik semangat untuk pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team and ianya petunjuk yang agak positif bahawa kerja keras pasukan tiga bulan ini bakal membuahkan hasil. Saya akan membawakan semangat yang sama untuk membuat yang terbaik di sesi SuperPole esok,” katanya lagi.

Keputusan Izzat disusuli pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar yang mencatat masa 1’15.409s. Juara bertahan CP150, Mohd Helmi Azman mencatat masa ketiga terpantas, 1’15.423s.

Sementara itu, Kasma Daniel Kasmayuddin yang telah meninggalkan arena Cub Prix selama dua tahun, ternyata masih mencari kembali rentak penunggangan jentera ‘underbone’. Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu tidak dapat melayakkan diri ke sesi SuperPole apabila hanya mencatat masa ke-14 dengan catatan masa 1’16.240s.

Dalam kategori CP125, catatan masa terpantas dirakam oleh pelumba ONEXOX TKKR Racing Team Mohd Hafiza Rofa dengan catatan masa 1’32.306s. Namun begitu, pelumba wanita Siti Norafizah Mohamad dari pasukan baharu TUNEBOSS Pink Racing mencuri tumpuan apabila mencatat masa kedua terpantas 1’33.005s di dalam kategori pertengahan itu.

Catatan masa kategori Wira KBS dicatat oleh Mohd Syamil Amsyar M. Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing dengan masa 1’34.222s.

IPONE YAMAHA YY PANG MENGUMUMKAN 5 PELUMBA UNTUK MUSIM 2021 CUB PRIX

Juara pasukan bertahan CP125, IPONE Yamaha YY Pang Racing Team, telah mengumumkan barisan 5 pelumba dalam kelas CP150 serta kategori CP125 dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim 2021.

Dalam usaha pasukan untuk mengekalkan gelaran JuaraPasukan di kelas CP125, YY Pang Racing Team telah memilih untuk mengekalkan kombo Adib-Fareez dari musim sebelumnya. Oleh itu, pelumba senior pasukan, Mohd Adib Rosley akan mendapat peluang kedua untuk meraih takhta CP125 yang diidamkan selama ini.

“Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan Mohd Fareez Afeez lagi. Meskipun musim 2020 berakhir dengan nota yang agak mengecewakan, namun saya gembira kerana kami cukup berjaya memenangi Anugerah Pasukan, ”kata Adib.

Selain itu, pasukan ini juga telah mengumumkan barisan 3 orang untuk kelas perdana CP150 yang terdiri daripada Mohd Izzat Zaidi, Tengku Amirul Haffiruddin dan pelumba baru Khairi Asyraf Mahmood.

‘ABANG POWER’ AHMAD FUAD BAHARUDDIN MEMPERKENALKAN DUA MUKA BARU UNTUK AFB TECH RACING

Dalam musim 2021, Honda AFB Tech Racing akan memperkenalkan 2 muka baru untuk Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS iaitu Awal Mohd Alfikri bagi slot CP125 serta Adib Hareez Hazwat untuk kelas Wira.

Awal Mohd Alfikri, yang menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing pada musim 2020, teruja dengan peluang untuk belajar dari pelumba veteran negara, Ahmad Fuad Baharudin.

Sementara itu, Adib Hareez Hazwat akan membuat penampilan sulung dalam kategori Wira KBS. Pelumba muda kelahiran Melaka itu menduduki tempat ke-6 keseluruhan dalam Cabaran Honda Dash 125 2020.

Pada masa yang sama, pelumba pasukan Wira tahun 2020 iaitu Abdullah Qayyum masih kekal bersama pasukan AFB-Tech Racing dan akan mewakili pasukan dalam kategori CP125.

Walaupun barisan pelumba pasukan Honda AFB Tech Racing banyak berubah, akan tetapi pasukan kendalian Ahmad Fuad Baharudin itu telah memutuskan untuk menggunakan corak warna identity yang sama seperti musim 2020.

“Tahun ni pasukan masih mengekalkan ‘livery’ yang sama sebab tahun lepas tak puas lagi pakai livery ini,” kata Ahmad Fuad.

PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR MEMPERTARUHKAN GANDINGAN KASMA-HAZIQ-NAZIRUL IZZAT

Seminggu sebelum bermulanya perlumbaan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor telah mengumumkan barisan pelumba pasukan untuk cabaran musim 2021.

Pasukan yang telah memenangi lebih daripada 10 gelaran juara sejak tahun 1997 tersebut,  bakal mempersembahkan gandingan menarik Muhd Haziq Fairues, Nazirul Izzat Bahauddin, serta Kasma Daniel Kasmayudin dalam kategori CP150.

Kepulangan Kasma Daniel ke kancah Cub Prix sememangnya menarik perhatian ramai peminat Cub Prix. Pelumba muda berbakat itu pernah bergelar juara selama tiga tahun berturut-turut. Kasma memenangi gelaran juara CP115 pada tahun 2015, diikuti juara CP130 pada tahun 2016 dan mencatat sejarah sebagai pelumba pertama menjuarai kategori CP150 pada tahun 2017.

Kasma melangkah ke arena CEV pada tahun 2018 dan seterusnya ke kategori Moto2 pada musim 2020. Hanya berusia 21 tahun, Kasma masih berhasrat untuk melanjutkan karier perlumbaannya.

“Saya mengambil keputusan untuk meneruskan karier perlumbaan saya dan saya tidak sabar dapat beraksi semula dalam gelanggang Cub Prix dan Asia Road Racing Championship. Mungkin ramai yang bakal memberikan pandangan negatif terhadap keputusan saya ini, tetapi bagi saya, keputusan ini wajar kerana ia akan membenarkan saya untuk terus menjadi seorang pelumba profesional,”

Kasma Daniel Kasmayudin

Dalam perkembangan kategori seterusnya, juara bertahan CP125 Syafiq Rosli akan dikekalkan dalam kategori yang sama. Musim ini, Syafiq akan bekerjasama dengan Aliff Daniel untuk cabaran kategori tersebut.

10 PUSINGAN UNTUK MUSIM 2021 KEJUARAAN CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS

Musim 2021 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan kembali menyajikan 10 pusingan perlumbaan, berdasarkan jadual perlumbaan terkini yang telah diumumkan baru-baru ini.

Jadual sementara ini telah diaturkan mengikut SOP pandemik semasa dengan mengambil kira andaian bahawa penonton masih lagi tidak dibenarkan menonton secara langsung di litar untuk musim 2021. Oleh yang demikian, jadual musim 2021 ini mirip jadual musim 2020 di mana semua perlumbaan akan dianjurkan di litar tetap.

Lima daripada sepuluh pusingan musim 2021 akan tertumpu di Litar Antarabangsa Sepang. Dua lagi pusingan akan dianjurkan di Litar Tangkak, Johor dan satu lagi di Terengganu. Buat masa ini, lokasi dua perlumbaan berbaki belum dapat ditetapkan.

“Sekiranya tiada halangan, pihak Cub Prix berharap akan memulakan musim 2021 pada bulan Mac nanti. Namun demikian, harus diingatkan bahawa jadual ini masih tertakluk kepada perubahan semasa,” kata Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

Pihak Safe Aim Mutual juga berhasrat menghidupkan semula Kejuaraan Mini Cub Prix yang dikhaskan untuk pelumba-pelumba cilik berusia enam sehingga 12 tahun. Aktiviti pocket bike ini dijangka akan bermula pada bulan Mei atau Jun nanti.

“Tidak dinafikan, musim 2020 adalah musim yang begitu mencabar. Namun, dengan bantuan pelbagai pihak, kami berterima kasih kerana masih sempat menamatkan musim 2020 dengan berjaya. Dalam itu, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada PETRONAS, penaja utama Cub Prix, yang telah banyak membantu meningkatkan taraf sukan permotoran tanahair. Tidak lupa juga rakan-rakan korporat Cub Prix yang turut menyumbangkan sokongan terhadap sukan ini.”

“Bagi pihak semua warga Cub Prix, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia di atas bantuan yang telah dihulurkan selama ini. Kami juga menyeru agar orang ramai terus mematuhi syarat-syarat SOP yang telah ditetapkan. Bersama, kami pasti akan berjaya menangani gejala ini,” tambah Ron.

PENCARIAN BAKAT CUB PRIX BERMULA LAGI

Pencarian bakat Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS bermula lagi dengan objektif mencungkil bakat baharu untuk menyertai tiga kategori satu pengeluar (One Make Race) musim 2021.

Peluang ini terbuka kepada semua warga Malaysia berusia antara 13 tahun hingga 18 tahun yang ingin menceburi dunia perlumbaan buat pertama kali.

“Pendaftaran ini merupakan langkah pertama bagi seseorang pelumba baharu untuk menyertai Kejuaraan Cub Prix PETRONAS. Sesiapa yang berminat hanya perlu mendaftar nama masing-masing. Pelumba-pelumba yang telah disenarai-pendekkan akan diminta hadir di sesi pemilihan seterusnya yang akan dianjurkan oleh pihak Honda dan Yamaha masing-masing,” kata Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran atas talian, semua pihak yang berminat dijemput melayari https://www.malaysiancubprix.com/rider-search-2021/. Proses pendaftaran dibuka dari sekarang sehingga 15hb Februari 2021.

KOMUNITI CUB PRIX LEGA MUSIM 2020 SELESAI

Musim 2020 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang dirumitkan oleh cabaran penganjuran pandemik akhirnya berjaya ditamatkan dengan lancar di Litar Utara Sepang minggu ini.

Meskipun empat pusingan terpaksa ditamatkan dalam jangkamasa hanya enam hari, komuniti Cub Prix tetap bersyukur diberi peluang menghabiskan musim 2020.

“Bagi pihak Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, kami ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Menteri Kanan Pertahanan, serta agensi-agensi kerajaan seperti KBS, MKN dan KKM di atas kebenaran untuk menghabiskan musim 2020 ini. Tidak dinafi, Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS antara segelintir acara sukan yang sempat menamatkan musim ini dengan begitu lancar,”

“Tidak lupa juga Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta ramai lagi dif-dif kehormat yang turun ke padang untuk turut menyerikan perlumbaan terakhir musim ini di Litar Sepang minggu ini.”

“Di samping itu, kami juga berterima kasih kepada semua penaja kejuaraan serta para penaja pasukan di atas kerjasama dan pemahaman yang diberikan dalam musim yang amat mencabar ini. Peluang untuk menamatkan musim 2020 ini telah melonggarkan kekangan kewangan yang mungkin dihadapi oleh semua pasukan perlumbaan sekiranya empat perlumbaan terakhir tidak dapat dianjurkan. ”

“Yang penting, pihak Cub Prix juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli komuniti Cub Prix, terutamanya pasukan-pasukan perlumbaan. Tidak dinafikan, perlumbaan enam hari dengan empat pusingan berturut-turut menelan kos belanja yang begitu tinggi. Namun begitu, semua pihak menghulurkan kerjasama yang begitu memberangsangkan,”

Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd

Musim 2020 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS ditamatkan dengan nada genting apabila buruan takhta CP150 dan CP125 hanya ditentukan pada pusingan penutup tirai. Dalam kategori perdana CP150, pertembungan sengit di antara Mohd Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar menjadi tumpuan ramai. Helmi akhirnya menyambar gelaran juara dengan empat kemenangan daripada enam kedudukan podium musim ini.

JADUAL AKHIR MSBK 2020 DIPINDA KE JANUARI 20 HINGGA 22, 2021

Pusingan kedua dan terakhir Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 20 hingga 22 Januari 2021.

“Berita baik untuk semua di dalam industri sukan permotoran. Para pelumba tidak sabar untuk bertanding di MSBK Pusingan 2 yang pada awalnya dijadualkan pada bulan Oktober tetapi kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB), ia terpaksa ditunda. Kami berharap dapat menyaksikan pusingan akhir ini kerana ianya akan menjadi acara penutup untuk sukan permotoran pada tahun 2020. Semoga tahun 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk industri sukan permotoran tempatan kita. “

Azlan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif, Litar Antarabangsa Sepang.