Pusingan penutup tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2021 bermula dengan lancar di Litar Sepang Selatan. Selepas dua hari hujan dan terpaksa meredah banjir yang melanda, akhirnya para pelumba Cub Prix dikurniakan dengan cuaca yang begitu sempurna untuk perlumbaan terakhir musim 2021.
Pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar akhirnya berjaya bergelar Juara CP150, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix setelah berdepan dengan pelbagai rintngan dan cabaran.Walaupun kedudukan pendahulu kejuaraan telah dirampas oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing di Pusingan 9, Azroy enggan menyerah. Pelumba Honda tersebut memilih strategi konservatif dalam perlumbaan CP150 Akhir sepanjang 11 lap itu.
Tatkala pelumba-pelumba lain berasak untuk mendahului perlumbaan, Azroy cuma fokus mengekalkan kedudukannya di kalangan kelompok pertama. Berbaki tiga lap perlumbaan, Azroy mula mengorak langkah meletakkan dirinya di tempat yang strategik. Strategi ‘curi angin’ ataupun slipstreaming Azroy berjaya apabila pelumba Honda tersebut membuat kejutan di garisan penamat. Azroy berjaya mengungguli perlumbaan penutup tirai dengan catatan masa 14’13.682s. Kemenangan ini sekaligus mengesahkan kedudukan Azroy sebagai Juara CP150 dengan 163 mata.
“Perlumbaan tadi memang mencabar kerana terlalu ramai pelumba-pelumba Yamaha yang berada di depan. Oleh itu, saya memilih strategi yang lebih selamat. Musim ini juga agak mencabar bagi kami semua. Agak sukar untuk mendapat momentum apabila penganjuran perlumbaan terpaksa ditangguh akibat pandemik Covid-19. Namun, saya amat bersyukur mendapat peluang untuk menamatkan musim 2021 dengan kejayaan yang diidamkan selama ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan prestasi kami dalam musim hadapan,” kata Azroy.
Tempat kedua dimenangi Ahmad Fazrul Sham dengan catatan masa 14’13.700s dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan menduduki tempat ke-tiga dengan 14’13.702s. Pesaing terdekat Azroy, Ahmad Afif Amran, menamatkan perlumbaan penutup tirai di tempat ke-5, dan terpaksa akur di tangga kedua keseluruhan dengan 157 mata. Mohd Akid Aziz menamatkan musim 2021 di tangga ketiga dengan 135 mata.
KEPUTUSAN PUSINGAN 10 CUB PRIX
CP150
- Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 14’13.682s
- Ahmad Fazrul Sham (Yamaha, Yamaha GenBlu AHM Motor Sports) 14’13.700s
- Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan (Yamaha, Ipone Yamaha YY Pang), 14’13.702s
CP150 : PUNGUTAN MATA PELUMBA SELEPAS 10 PUSINGAN
- Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 163 pts
- Ahmad Afif Amran (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing), 157 pts
- Mohd Akid Aziz (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing team), 135 pts
CP150 : KEPUTUSAN PUNGUTAN MATA PASUKAN KESELURUHAN
- PETRONAS Sprinta Yamaha – Maju Motor, 244 pts
- PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, 240 pts
- ONEXOX TKKR Racing Team, 228 pts