LITAR SEPANG MASIH DALAM GENGGAMAN HELMI AZMAN

Pelumba Hi-Rev SCK Honda Racing, Mohd Helmi Azman, seakan tiada tandingan di Litar Sepang apabila berjaya merakam kemenangan ketiga pada musim ini, di Litar Utara Sepang pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

Walaupun terpaksa memulakan perlumbaan dari barisan kedua setelah mencatat masa ke-enam terpantas dalam sesi ShootOut CP150, strategi perlumbaan pelumba Honda tersebut nyata tidak terjejas. Helmi mengekalkan kedudukannya dalam kelompok pertama untuk sembilan lap pertama, manakala Mohd Aiman Tahiruddin, Mohd Haziq Mohd Fairues, Affendi Rosli, Azroy Hakeem Anuar, Akid Aziz dan Ahmad Fazli Sham bergilir-gilir memimpin perlumbaan sepanjang 11 pusingan itu.

Meskipun hanya mula mengorak langkah pada pusingan ke-10, Helmi masih berjaya mengenepikan tentangan hebat dari Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dan pendahulu kejuaraan Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) di garisan penamat.

Kemenangan Helmi yang ketiga pada musim ini dicatat dengan masa 14’38.112s.

“Itu sememangnya strategi perlumbaan pasukan kami untuk pusingan ini. Agak mustahil bagi seseorang pelumba untuk mengekalkan kedudukan di tempat pertama untuk perlumbaan sepanjang 11 pusingan di atas litar yang panjang dan lebar seperti Sepang. Jadi, saya hanya berancang menunggu sehingga pusingan terakhir sebelum membuat serangan. Syukur, strategi tersebut menjadi pada perlumbaan tadi,” kata Helmi.

Afif terpaksa berpuas hati di tempat ke-2 dengan catatan masa 14’28.120s. Ini adalah podium pertama bagi Afif dalam musim 2020. Kedudukan ketiga disambar oleh Azroy Hakeem Anuar dengan catatan masa 14’38.142s.

Dengan kemenangan terbaharu dari Helmi Azman ini, kedudukan Azroy di atas tangga keseluruhan CP150 semakin tergugat. Azroy kini hanya mendahului kejuaraan dengan 97 mata, 6 mata di hadapan Helmi Azman. Sementara itu, kedudukan kedua-dua pelumba Honda ini semakin sukar digugat oleh pesaing lain. Pesaing terdekat di tangga ke-tiga, Mohd Aiman Tahiruddin, ketinggalan 35 mata di belakang Helmi dengan jumlah 56 mata selepas lima pusingan ditamatkan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor berjaya memenangi perlumbaan CP125 Pusingan 5 dengan catatan masa 11’14.252s. Tempat ke-2 jatuh ke tangan Mohd Fareez Afeez Abd Rahman yang mewakili pasukan IPONE Yamaha YY Pang Racing Team manakala Mohd Hafiza Rofa yang memulakan perlumbaan dari petak pertama menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga dengan catatan masa 11’14.342s.

Kemenangan Syafiq itu berjaya mengekang kemaraan pelumba-pelumba taruhan pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dari terus mara mendominasi buruan takhta CP125. Syafiq Rosli kini memimpin kategori pertengahan ini dengan 81 mata. Mohd Shafiq Rasol turun ke tangga ke-2 dengan 74 mata selepas menamatkan perlumbaan Pusingan 5 di tempat ke-9.

Kalendar Provisional 2021 ARRC

Selepas melalui saat sukar gara-gara penularan wabak Covid-19, Kejuraan Motosikal Asia (ARRC) FIM bagi edisi 2021 akan kembali dan bakal dilangsungkan sebanyak enam pusingan yang dijadualkan bermula pada Jun depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak penganjur kejuaraan tersebut hari ini, empat negara disenaraikan dalam kalendar provisional bagi musim 2021 itu membabitkan Litar Antarabangsa Sepang (Malaysia), Litar Antarabangsa Zhuhai (China), The Bend Motorsports Park (Australia) dan Litar Antarabangsa Chang Buriram (Thailand).

Malaysia dan Thailand masing-masingnya bakal menjadi hos sebanyak dua kali iaitu bagi aksi pembuka tirai dan juga penutup.

Penyusunan kalendar bagi saingan musim 2021 itu mengambil kira pelbagai faktor terutamanya aspek keselamatan yang berkaitan dengan kemungkinan masih adanya penguatkuasaan larangan perjalanan ke negara-negara tertentu ketika dunia masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Justeru, pihak penganjur dan FIM Asia memilih untuk merancang penganjurannya pada pertengahan tahun depan dengan harapan situasi ketika itu bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Berdasarkan kalendar provisional yang dikeluarkan pihak penganjur hari ini, Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi venue untuk aksi Pusingan 1 dan 2 yang masing-masingnya ditetapkan pada 4-6 Jun dan 11-13 Jun 2021.

Pusingan 3 dijadualkan berlangsung pada 30 Julai hingga 1 Ogos di Litar Antarabangsa Zhuhai diikuti Pusingan 4 pada 23-26 September di The Bend Motorsports Park, Australia.

Dua pusingan terakhir akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang Buriram, Thailand masing-masingnya pada 19-21 November dan penutup musim pada 26-28 November.

Menurut Pengarah Two Wheels Motor Racing, Ron Hogg, musim 2020 merupakan saat paling mencabar untuk semua acara sukan gara-gara penularan wabak Covid-19.

Begitupun katanya, pihaknya amat berterima kasih dan menghargai kerjasama semua pihak terutama rakan-rakan korporat serta semua pasukan yang sangat memahami segala permasalahan yang dihadapi ketika berdepan saat-saat sukar.

“Tahun 2020 memang sangat sukar dan mencabar untuk semua acara sukan dan kami selaku promoter untuk kejuaraan Motosikal Asia sangat menghargai kerjasama serta sokongan daripada semua pihak yang terlibat, terutamanya pasukan serta rakan korporat yang turut memahami segala masalah yang dihadapi ketika melalui saat-saat sukar sepanjang berdepan dengan penularan wabak Covis-19,”

Menurutnya lagi, meskipun kalendar provisional untuk musim 2021 ini sudah diumumkan, mungkin akan berlaku beberapa perubahan lagi, namun pihaknya sudah tidak sabar untuk menyaksikan kejuaraan terhebat di Asia itu kembali seperti biasa pada tahun depan.

Ron Hogg, Pengarah Two Wheels Motor Racing

Sementara itu, presiden FIM Asia, Stephen Carapiet sudah tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya untuk melihat kejuaraan tersebut kembali lagi musim depan.

“Kami percaya enam pusingan yang dirancang untuk musim 2021 dianggap sebagai permulaan yang baik bagi memastikan kejuaraan ARRC kembali seperti sebelumnya. Kami di FIM Asia sentiasa komited untuk meneruskan kejuaraan terbesar di Asia ini dan berharap kerjasama baik dengan para pemegang taruh terus terjalin erat bagi memastikan segala yang dirancang dapat direalisasikan dengan sempurna,”

Stephen Carapiet, Presiden FIM Asia

EMPAT PUSINGAN KONSEKUTIF UNTUK MENAMATKAN MUSIM 2020 PETRONAS CUB PRIX

Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020

Setelah menerima lampu hijau untuk menyambung semula aktiviti sukan tanpa sentuhan, Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS dengan sukacitanya mengumumkan empat pusingan berturut-turut untuk menamatkan musim 2020.

Kalendar terkini dari Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS sedikit berbeza dari yang biasa, di mana empat pusingan terakhir musim 2020 akan diselesaikan melalui enam hari perlumbaan berturut-turut di Litar Sepang Utara.

Kalendar untuk separuh kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 adalah seperti berikut:

Pusingan 5 & 6 Sepang Utara 18 hingga 20 Disember 2020
Pusingan 7 & 8 Sepang Utara 22 hingga 24 Disember 2020

“Tidak diragukan, jadual perlumbaan sebegini sememangnya amat membebankan pasukan dan pelumba. Namun, semua pasukan Cub Prix telah bersetuju bahawa ini adalah cara paling selamat untuk menamatkan musim ini,”

“Bagi pihak warga Cub Prix, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta semua agensi-agensi kerajaan yang terlibat di atas kelulusan khas ini. Terutamanya kepada YB Menteri Belia dan Sukan yang amat prihatin terhadap keperitan yang dialami oleh pengiat sukan permotoran dalam situasi ini. Semoga kelulusan yang diberikan ini menjadi sinar agar sektor sukan dapat dibuka semula seperti mana yang dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Belia dan Sukan. Yang pastinya, warga Cub Prix akan mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tak diingini berlaku.”

Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, penganjur perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

Menepati SOP penganjuran sukan semasa, empat pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan berlangsung tanpa kehadiran penonton. Meskipun demikian, para peminat sukan permotoran tempatan boleh mengikuti aksi-aksi hebat dari empat pusingan terakhir ini secara langsung di laman Facebook Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, TV2, RTM Sports, Astro SuperSports Saluran 811 dan Astro Arena.