Jangan salah anggap dengan tajuk ye.. Baca penuh artikel ni dulu…Agak panjang dan pihak kami (Berita Litar) amat menghargai segala komen dan kritikan yang membina
Artikel ini bukanlah untuk mengatakan tentang kemenangan Damok atau nama penuhnya Syarifuddin Azman, bintang yang mula digilap bakatnya dari kejuaraan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang ketika ini tengah viral selepas kemenangannya di CEV.
Bahkan laman rasmi Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan turut mengucapkan tahniah kepada Damok.
Sebelum bercerita lanjut, terlebih dahulu kami turut ucapkan tahniah yang tidak terhingga di atas kemenangan Damok dalam saingan Moto3 Junior CEV di Litar Catalunya, Barcelona
Satu aksi yang hebat dan strategi perlumbaan yang bijak ditunjukkan oleh Damok dan seluruh pasukan yang turut diterajui bersama-sama pasukan ZK Racing dan SIC.
Sebenarnya dengan kemenangan Damok, apa yang dapat dibuktikan oleh sukan permotoran Malaysia ialah kita mempunyai bakat yang sama handal dengan pelumba luar khususnya Eropah, dan program pembangunan sukan permotoran yang kita ada juga sangat baik.
Pentas podium bukanlah “perkara luar biasa” lagi bagi pelumba Malaysia di luar negara. Yang luar biasa ialah kalau bola sepak kita berjaya ke Piala Dunia. Itu sangat luar biasa!
Buktinya, bila bercakap tentang saingan di Eropah, kita mempunyai bakat-bakat yang handal tidak kira dalam saingan dua tayar atau empat tayar.
Dalam perlumbaan kereta formula, nama seperti Jazeman Jaafar dan lain-lain sentiasa memberikan saingan yang hebat. Gelaran juara dan pentas podium berjaya dinikmati pelumba kereta formula ini.
Begitu juga dalam perlumbaan gokart mahupun rally (Karamjit Singh) dan drift (Tengku Djan), kita mempunyai pelumba yang berdaya saing.
Dalam perlumbaan dua tayar seperti supermoto, motard, dan terutama sekali saingan road race, kita tidak ketinggalan melahirkan bintang tidak kira di Asia ataupun Eropah. Anda boleh google sendiri untuk mencari nama-nama mereka.
Pentas Kejuaraan Motosikal Asia bukanlah perkara asing, beberapa juara Asia telah kita lahirkan.
Berbalik kepada Kejuaraan Eropah atau dikenali CEV ketika ini, pentas podium juga bukanlah perkara asing kepada pelumba kita.
Rekod terbaik ketika ini milik Hafizh Syahrin yang pernah dua kali memenangi perlumbaan Moto2 CEV pada tahun 2013.
Shahrol Yuzy juga pernah beberapa kali menaiki podium sewaktu bersaing di Kejuaraan Eropah dalam kategori 250cc sebelum ke MotoGP.
Begitu juga Khairul Idham Pawi pada 2015, beberapa kali beliau menaiki podium. Walaupun gagal menjuarai perlumbaan di CEV namun telah berjaya mencetak namanya sebagai pemenang dua kali perlumbaan Moto3 di pentas GP.
Malahan juga Azlan Shah Kamuzaman dan Zaqhwan Zaidi Juara Asia yang turut pernah beraksi didalam MotoGP dan Kejuaraan Endurance berprestij
Tidak ketinggalan dengan Adam Norrodin ketika ini. Selain itu, beberapa pelumba negara seperti Obert Rosnizam Mohd Noor, Baby Hulk Hafiq Azmi, Izam Ikmal (dan lain-lain pelumba lagi yang kami tidak sebutkan nama).
Jadi sebenarnya memang terbukti kita setaraf dengan pelumba Eropah, tidak perlulah kita terlalu memandang tinggi lagi pelumba-pelumba luar negara kerana jika teknologi dan keupayaan modal kita sama seperti mereka, rasanya ramai lagi pelumba kita berada di podium, bahkan mungkin sudah ada bergelar juara keseluruhan namun malangnya kita tidak memiliki perkara asas tersebut iaitu teknologi dan kewangan. (Bab teknologi, kita kupas artikel lain nanti).
Dengan keupayaan modal yang agak terhad terutama jika dibandingkan dengan Thailand dan Indonesia, kita masih berupaya melahirkan pelumba-pelumba podium.
Bayangkan bagaimana jika sukan bermotor mempunyai dana sebagaimana yang dinikmati sukan bola sepak? Anda pasti ada jawapan sendiri.
Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang sudah hampir mencecah usia 30 tahun, secara berperingkat telah membawa perubahan dan membangunkan sukan permotoran dua roda negara terutama dengan sokongan jitu Petronas.
Tagline Melahirkan Wira Malaysia Masa Hadapan berada di landasan tepat namun kita perlu bersabar, kejayaan bukanlah hadir dalam tempoh singkat. Perkara yang penting adalah terus berusaha dan konsisten!!!
Cub Prix ketika ini adalah ‘pool’ terbesar dalam melahirkan pelumba tidak kira yang mempunyai cita-cita ke pentas lebih tinggi atau sebagai ruang kerjaya.
Malangnya sukan perlumbaan profesional ini masih gagal mendapat perhatian tinggi terutama golongan korporat. Buktinya setiap musim, pasukan masih bergelut mendapatkan penajaan (juga kita bincang dalam artikel lain).
Kita harapkan agar sukan permotoran dapat diberi pengiktirafan sebagaimana sukan-sukan lain dan dapat berada dalam senarai sukan di bawah Majlis Sukan Negara suatu hari nanti.
Pengiktirafan ini mungkin dapat membantu memudahkan sokongan pelbagai pihak terhadap sukan permotoran khususnya dari segi kewangan.
Kepada peminat-peminat, janganlah pula sokongan bermusim. Cuba ambil tahu juga perlumbaan tempatan yang lain tidak kira kereta ataupun motosikal.
Ingat, sukan bermotor ni bukan hanya ada di Eropah!!! Bukan hanya yang berkaitan dengan MotoGP atau F1!!!
Akhir kata, cepatlah Covid19 nyah dari muka bumi. Admin rindu nak ke Cub Prix yang tertangguh dan juga melihat aksi pelumba-pelumba di ARRC. Dua tahun dah tertangguh ni, naya sungguh!!!
MAJULAH SUKAN PERMOTORAN MALAYSIA
Sumber Gambar Google