Mohd Helmi Azman dari pasukan Hi Rev SCK Honda Racing mengambil alih kedudukan pendahulu kejuaraan CP150 apabila berjaya mencatat kemenangan ke-empat musim ini di Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Utara Sepang.
Kemenangan pelumba Honda itu dicapai dalam keadaan mencabar akibat hujan lebat yang turun di pertengahan perlumbaan sepanjang 11 lap perlumbaan. Perbalahan sengit antara 15 pelumba dalam kelompok hadapan berpecah-belah apabila Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing terjatuh pada lap terakhir.
Insiden tersebut memberi ruang kepada Helmi memecut ke garisan penamat, diikuti rapat oleh Mohd Affendi Rosli yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing. Kemenangan ke-empat Helmi dicatat dengan masa 16’00.716s. Di tempat kedua, Affendi Rosli meraikan keputusan podium pertamanya musim ini dengan catatan masa 16’00.733s. Tempat ke-tiga jatuh ke tangan pelumba IPONE Yamaha YY Pang Racing Team, Mohd Izzat Zaidi Salehan dengan catatan masa 16’03.808s.
“Keadaan litar pada perlumbaan tadi memang mencabar dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Berbekalkan pengalaman saya di litar Sepang ini, saya cuma menumpukan perhatian sepenuhnya agar tidak ‘terperangkap’ terutamanya di selekoh-selekoh yang licin dan rumit,”
“Saya tidak mahu banyak memikirkan tentang mata kejuaraan. Saya begitu yakin dengan jentera yang disediakan oleh pasukan Hi Rev SCK Honda Racing dan hanya mahu menamatkan perlumbaan terakhir nanti di posisi yang terbaik,”
Mohd Helmi Azman, Pelumba, Hi Rev SCK Honda Racing
Kemenangan ini turut memberikan kelebihan kepada Helmi dalam buruan takhta juara CP150 musim 2020. Pesaing terdekat Helmi, Azroy Hakeem Anuar menamatkan perlumbaan Pusingan 7 di tempat ke-empat. Jurang antara Helmi dan Azroy di tangga kejuaraan kini adalah sebanyak 12 mata kejuaraan.
Berbekalkan 132 mata kejuaraan di tangga teratas CP150, Helmi akan memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi keputusan podium dari perlumbaan penutup tirai Pusingan 8 untuk menjulang piala musim ini. Namun begitu, pelumba Hi Rev SCK Honda Racing itu menegaskan bahawa beliau tidak akan terlalu fokus pada buruan takhta kejuaraan.
Drama dua pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS berlarutan dalam kategori CP125 di mana kelebihan mata yang dimiliki Mohd Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor lesap dalam sekelip mata apabila pelumba Yamaha itu terjatuh dalam perlumbaan CP125 Akhir.
Perlumbaan CP125 akhir Pusingan 7 dimenangi Mohd Adib Rosley dari pasukan IPONE Yamaha YY Pang Racing Team dengan catatan masa 9’02.205s. Pelumba ONEXOX TKKR Racing Team, Mohd Shafiq Rasol menaiki podium kedua dengan catatan masa 9’02.276s disusuli Mohd Aiman Azman dari pasukan Hi Rev SCK Honda Racing dengan 9’02.332s.
Dalam perlumbaan penutup tirai Pusingan 8 nanti, seramai tiga pelumba yang berpeluang untuk memenangi gelaran juara CP125. Mohd Shafiq Rasol kini mendahului dengan 107 mata, Mohd Syafiq Rosli jatuh ke tangga kedua dengan 106 mata manakala Mohd Adib Rosley berjaya merapatkan jurang dan kini berada di tangga ketiga dengan 104 mata.
Dalam kategori Wira KBS, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Rahimi Nabil Razu mara mendekati objektif gelaran juara musim 2020 apabila berjaya mencipta kemenangan ketiga musim ini dengan catatan masa 8’43.680s.
Mohd Aeiman Hafidz Shahril yang mewakili pasukan ONEXOX Racing Team menamatkan perlumbaan Wira KBS Pusingan 7 di tempat ke-2 dengan catatan masa 8’45.362s. Mohd Syamil Amsyraf Mohd Iffende yang juga dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing melengkapkan podium Wira KBS Pusingan 7 di tempat ketiga dengan 8’45.578s.
Dengan kemenangan ketiga ini, yang juga merupakan podium ke-enam untuk Rahimi Nabil Razu, pelumba Yamaha tersebut hanya akan memerlukan enam mata kejuaraan lagi untuk menjulang piala Wira KBS musim 2020.